Search Islamic Directory
Keyword:

JOM UBAH!!!

JOM UBAH!!!

UBAH SEKARANG

UBAH SEKARANG

Gaji Pengerusi Syabas RM425,000 sebulan, mampu tampung bil air rakyat

Azamin Amin
Fri | Mar 13, 09 | 2:58:08 pm MYT

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Hrkh) - Dewan Rakyat kelmarin menjadi sedikit 'riuh' apabila diberitahu bahawa gaji Pengerusi Syabas Tan Sri Razali Ismail sejumlah RM5.1 juta setahun.

Perkara ini diungkap kembali oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh Dato' Seri Anwar Ibrahim ketika membahaskan rang undang-undang perbekalan tambahan 2009 yang dalam masa yang sama menjawab soalan Ahli Parlimen Titiwangsa Dr. Lo' Lo' Ghazali berhubung gaji dan elaun pengurus atau pengarah GLC.

"Apa dan mengapa nak dirahsiakan gaji GLC ini? Gaji syarikat boleh dibuka. Oleh sebab itu seperti mana yang saya sebutkan tadi, keadaan di Syarikat Bekalan Air Selangor bila tanggungan begitu bila sudah naikkan beban bagi rakyat, baru kita tahu rupa-rupanya pengurusnya RM5.1 juta.

"Itu basic belum lagi elaun-elaun tambahan. Ini keterlaluan kalau dibiarkan keadaan begitu," kata Anwar.

Sementara itu turut menarik perhatian ahli-ahli dewan ialah Zulkifli Noordin(KeADILan -Kulim Bandar Baharu) yang membuat pecahan kiraan gaji pengerusi syarikat air itu yang boleh dimanfaatkan oleh rakyat.

"Saya buat 'simple calculation' ini. Pada gaji RM5.1 juta setahun, bermakna gaji beliau RM425,000 sebulan. Satu hari, gaji dia RM14,166... Satu jam gaji dia RM1,770. Satu minit, dia dibayar RM29.51...

Kata Zulkifli gaji beliau itu boleh membayar gaji 34 Ahli Parlimen sebulan ataupun boleh membayar 425 anggota polis dengan gaji RM1,000 sebulan.

"Bermakna lima unit FRU boleh ditanggung dengan gaji beliau... ataupun kalau bil air... RM100 sebulan, boleh membayar 4,250 rumah atau kalau bil air itu RM50, boleh bayar 8,500 sebulan," katanya yang menyebabkan ramai ahli parlimen ketawa dan cuba mencelah. - azm_

Kerajaan tidak cadang salur bantuan kepada Hamas

Azamin Amin
Fri | Mar 13, 09 | 3:48:38 pm MYT

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Hrkh) - Walaupun Kerajaan Hamas adalah kerajaan yang sah di sisi undang-undang dan dipilih oleh rakyat namun kerajaan Malaysia tidak bercadang untuk menyalurkan bantuan kepada Hamas.

Ini termasuklah tidak menyalurkan bantuan kepada PLO dan Palestinian Authority kerana bimbang disalahgunakan.

Demikian dijelaskan Timbalan Menteri Luar Dato' Abdul Rahim Bakri di Dewan Rakyat baru-baru ini berhubung dengan agihan bantuan kepada penduduk Gaza yang diganasi rejim zionis Israel.

"Sebenarnya, setakat ini kita mengambil keputusan bahawa bantuan-bantuan atau pun sumbangan-sumbangan yang diberikan oleh sama ada orang awam atau pun kerajaan disalurkan kepada NGO-NGO kita. Ini kerana kita tidak mahu perkara serta bantuan-bantuan ini, kita mahu ianya benar-benar digunakan bagi menolong mereka yang telah cedera dan juga mengalami pelbagai masalah akibat daripada serangan tersebut.

"Setakat ini, kita tidak bercadang untuk menyalurkan sama ada kepada PLO atau pun Palestinian Authority atau pun kepada Kerajaan Hamas. Ini kerana kita ingin supaya bantuan ini benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan dan tidak disalahgunakan oleh sesiapa juga," katanya menjawab soalan tambahan daripada Ibrahim Ali (Bebas- Pasir Mas)

Sebelum itu beliau memberitahu bahawa Kementerian Luar Negeri memang bercadang untuk mengagihkan bantuan yang telah terkumpul sebanyak RM12.4 juta kepada beberapa NGO-NGO yang telah dikenal pasti yang akan bertanggungjawab untuk mengagihkan bantuan ini kepada rakyat Palestin khususnya di Gaza yang telah mengalami serangan baru-baru ini.

Antara NGO-NGO yang telah dikenal pasti katanya ialah MERCY, Yayasan Salam, Yayasan Aman Palestin, Coalition Malaysian NGOs Against Persecution of Palestinian, Muslim Care, Haluan Palestin Peace Malaysia, Yayasan Wanita Islam, Mawaddah, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, Malaysian Social Research Institute, dan Dewan Pemuda Masjid Malaysia.

Katanya kerajaan telah mengaktifkan akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin dan setiap sumbangan orang awam ke tabung ini akan dikawal selia oleh Jawatankuasa Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Malaysia.

Katanya setakat 10 Mac 2009 jumlah dana orang awam yang diterima dan terkumpul di dalam akaun tersebut ialah berjumlah sekitar RM12,741,000.

Namun katanya bagi tabung-tabung lain yang diusulkan oleh badan-badan bukan kerajaan dan tidak menyerahkan kepada tabung amanah, dimaklumkan bahawa kerajaan tidak mempunyai peruntukan undang-undang khas untuk mengawal selia tabung-tabung berkenaan. - azm _
 

blogger templates | Make Money Online